KUALA LUMPUR: Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Caely Holdings Bhd, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Azri Azerai meletak jawatan daripada lembaga pengarah, berkuat kuasa Isnin.

Mazlan, yang merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, dilantik pada 29 Mac 2022, manakala Azri, yang memiliki sejarah dalam kewangan korporat dan penstrukturan semula, menyertai ahli lembaga Caely pada 23 Mac 2022.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada lembaga pengarah kerana mengalu-alukan saya dan memberi saya peluang untuk berkhidmat kepada kumpulan," kata Mazlan dalam satu kenyataan.

Azri berkata beliau menyertai lembaga pengarah Caely dengan niat untuk membantu dalam pengembangan perniagaan sedia ada kumpulan pembuatan dan pengeksportan pakaian dalam wanita itu.

"Isu yang timbul baru-baru ini mungkin menjejaskan keupayaan saya untuk terus membantu kumpulan dan saya telah membuat keputusan untuk meletak jawatan.

"Saya ingin berterima kasih kepada lembaga pengarah dan mengucapkan selamat maju jaya kepada kumpulan itu dalam usaha mereka pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA